+ h e a r m e +

Monday, August 31, 2009

+ Kewajipan Ibu Bapa Terhadap Anaknya dlm sesuatu perkahwinan +

Kedua orang tua itu mempunyai kewajipan mendidik dan mengajar anaknya berbuat baik dalam pergaulan serta adab sopan dalam hidup berumahtangga dengan suaminya. Mengenai ini ada diriwayatkan bahawa Asma' binti Kharijah Fazari berkata kepada anaknya sewaktu perkahwinan anaknya dengan berkata:

" Hai anakku, kini engkau telah keluar dari sarang tempat engkau dilahirkan sehingga menjadi besar. Kini engkau mesti beralih ke suatu tempat dan rumah yang belum kau kenal dan engkau mesti berkawan dengan seoarang yang belum di kenali. Itulah suamimu, jadilah engkau sebagai tanah untuknya dan ia akan menjadi langit untukmu. Jadilah engkau sebagai lantai untuknya dan ia akan menjadi tiang untukmu. Jadikanlah dirimu pengasuhnya, nescaya ia akan menjadi hambamu. Janganlah engkau menghimpunkan untuknya berbagai kesukaran, sebab itu akan membuatkan ia meninggalkanmu. Janganlah engkau terlampau jauh daripadanya, nanti ia akan melupakanmu. Tetapi kalau ia mendekatimu, dekatilah ia dan sekiranya ia menjauhimu, jauhilah ia dengan baik, peliharalah suamimu, hidungnya, pendengarannya, matanya dan lain-lain. Janganlah suamimu itu mencium sesuatu dari dirimu melainkan yang harum, jangan pula ia mendengar melainkan yang enak, jangan pula ia melihat melainkan yang indah dari diri mu.

Kata-kata yang merupakan kumpulan adab sopan wanita perlu dipanjangkan, iaitu isteri hendaklah merupakan tiang utama di tengah - tengah rumahnya. Isteri itu hendaklah sentiasa di bilik rumahnya, menetap ditempat perkakas anyamannya, tidak banyak turun naiknya ataupun keluar. Ia mesti kurang berbicara terhadap tetangganya. Janganlah memasuki rumah tetangganya itu melainkan didalam keadaan yang mengharuskan ia masuk di situ.

Isteri hendaklah menjaga suaminya, baik sewaktu ia pergi ataupun ketika ia ada di rumah. Hendaklah diusahakan agar suaminya gembira dalam segala perkara yang dihadapinya. Jangan sekali-kali isteri mengkhianati dirinya sendiri ataupun harta suaminya. Jangan pula isteri itu keluar dari rumahnya melainkan dengan izin suaminya. Jika telah menerima keizinan dan terpaksa keluar, maka hendaklah isteri itu berjalan bersembunyi-sembunyi, berpakaian yang sederhana, tidak mendedahkan tubuh dan pakaiannya. Hendaklah selalu di cari tempat-tempat yang lengang bukannya tempat lalulintas orang ramai sehingga berdesak-desakkan. Ia mesti menghindarkan diri dari bercakap-cakap dijalanan dengan lelaki bukan mahram.

Yang wajib diutamakan oleh isteri itu ialah kebaikan keadaannya sendiri serta mengatur dan mentertibkan keadaan rumahtangganya. Selain itu mestilah rajin melakukan ibadat, sembahyang serta puasa dan lain-lain yang menjadi kewajipan dirinya.

Apabila ada kawan suaminya meminta izin dan sedang berada di hadapan pintu, tetapi di masa itu suaminya tiada, maka tidak perlulah ia bertanya ataupun bercakap - cakap dengannya. Hendaklah ia cemburu pada dirinya sendiri dan juga perasaan cemburu terhadap suaminya. Seorang isteri hendaklah puas dengan apa yang ada pada suaminya dan apa sahaja yang direzekikan oleh Allah Taala kepadanya.

Ia mestilah mendahulukan hak suaminya atas haknya sendiri serta hak keluarganya. Ia wajib membersihkan dirinya selalu, bersiap sedia setiap waktu dan keadaan, barangkali suaminya itu dengan tiba-tiba menginginkandirinya untuk bersenang-senang. Selain itu isteri juga wajib mengasihi anak-anaknya, menjaga dan menutup keburukan mereka, jangan mudah mengeluarkan kata-kata makian kepada anak-anaknya ataupun berbuat sesuatu yang menyakitkan suaminya. Demikian nasihat seorang ibu yang budiman kepada anaknya. Sementara itu ada pula beberapa perkara yang merupakan adab sopan seorang isteri, jikalau ia menginginkan ketenangan dalam rumahtangganya iaitu:

a. Janganlah isteri itu membangga-banggakan dirinya terhadap suaminya kerana kecantikan yang dimilikinya.

b. Jangan menghina suaminya kerana buruk rupa dan wajahnya.

c. Sentiasa menjaga kedamaian, ketenangan dalam segala hal.

d. Menahan diri sewaktu suaminya tidak ada di rumah.

e. Menunjukkan sikap baik, bermain-main dan berlapang dada serta melakukan segala hal yang menyebabkan kesenangan suami sewaktu suaminya ada di rumah.

Ada suatu kewajipan yang harus dipatuhi oleh isteri dan ianya termasuk dalam hak-hak perkahwinan, iaitu:

a. Jikalau isteri itu ditinggalkan mati oleh suaminya, maka hendaklah isteri itu menjaga dirinya dan berkabung tidak lebih dari empat bulan sepuluh hari. Dalam waktu itu dia dilarang mengenakan harum-haruman dan berhias.

Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Tidak halal bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, menunjukkan perkabungan kerana meninggalnya seseorang lebih dan tiga hari lamanya, melainkan untuk suaminya, maka bolehlah sampai selama empat bulan sepuluh hari" (Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)

b. Isteri itu menetap di rumah yang disediakan sewaktu ia masih menjadi isteri dan suaminya yang meninggal itu sehingga habis masa iddah.

c. Isteri itu tidak boleh berpindah ke rumah keluarganya atau keluar dari rumah itu, melainkan dalam keadaan darurat. Masih ada lagi adab sopan sebagai seorang isteri iaitu hendaklah isteri itu bekerja dan berkhidmat pada rumahtangga dalam segala perkara yang mampu ia lakukan, hal yang sedemikian inilah yang dilakukan oleh para isteri sahabat r.a.

Saturday, August 29, 2009

+ Panduan iktikaf di bulan Ramadan +

Di antara rangkaian ibadah dalam bulan suci Ramadan yang sangat dipelihara sekaligus diperintahkan (dianjurkan ) oleh Rasulullah s.a.w adalah iktikaf. Setiap muslim dianjurkan (disunatkan) untuk beriktikaf di masjid, terutama pada 10 hari terakhir bulan Ramadan.

Iktikaf merupakan pendekatan ibadat yang sangat efektif bagi muslim dalam memelihara keislamannya khususnya dalam era globalisasi, materialisasi dan informasi masa kini.

Definisi Iktikaf

Para ulama mendefinisikan iktikaf iaitu berdiam atau tinggal di masjid dengan adab-adab tertentu, pada masa tertentu dengan niat ibadah dan untuk mendekatkan kepada Allah SWT.

Ibnu Hazm berkata: Iktikaf adalah berdiam di dalam masjid dengan niat mendekatkan diri (taqorrub) kepada Allah SWT pada waktu tertentu pada siang atau malam hari. (al MuhallaV/179)

Hukum Iktikaf

Para ulama telah berijmak bahawa iktikaf khususnya 10 hari terakhir bulan Ramadan merupakan suatu ibadah yang disyariat dan disunatkan oleh Rasulullah s.a.w.

Rasulullah s.a.w sendiri sentiasa beriktikaf pada bulan Ramadan selama 10 hari.

Aisyah, Ibnu Umar dan Anas r.a meriwayatkan: "Adalah Rasulullah s.a.w beriktikaf pada 10 hari terakhir bulan Ramadan" (HR. Bukhori & Muslim).

Hal ini dilakukan oleh baginda hingga wafat, kecuali pada tahun wafatnya, baginda beriktikaf selama 20 hari.

Demikian halnya para sahabat dan isteri baginda sentiasa melaksanakan ibadah yang amat agung ini. Sehubungan itu, Imam Ahmad berkata: " Sepengetahuan saya tak seorang pun ulama mengatakan iktikaf bukan sunat."

Fadhilat (keutamaan) iktikaf

Abu Daud pernah bertanya kepada Imam Ahmad: Tahukah anda hadis yang menunjukkan keutamaan iktikaf?

Imam Ahmad menjawab : Tidak, kecuali ia hadis lemah (daif).

Namun demikian tidaklah mengurangi nilai ibadah iktikaf itu sendiri sebagai taqorrub kepada Allah SWT. Dan cukuplah keuatamaannya bahawa Rasulullah s.a.w, para sahabat, para isteri Rasulullah s.a.w dan para ulama salafus soleh sentiasa melakukan ibadah ini.

Jenis-jenis iktikaf

Iktikaf yang disyariatkan ada dua bentuk; pertama sunat, dan kedua wajib.

Iktikaf sunnat iaitu yang dilakukan secara sukarela semata-mata untuk bertaqorrub kepada Allah SWT seperti; iktikaf 10 hari terakhir bulan Ramadan.

Dan iktikaf yang wajib iaitu yang didahului dengan nazar (janji), seperti: "Kalau Allah SWT menyembuhkan penyakitku ini, maka aku akan beriktikaf.

Waktu iktikaf

Iktikaf wajib tergantung pada berapa lama waktu yang dinazarkan, sedangkan iktikaf sunat tidak ada batasan waktu tertentu, bila-bila saja pada malam atau siang hari, waktunya boleh lama atau singkat.

Ya'la bin Umayyah berkata: " Sesungguhnya aku berdiam satu jam di masjid tak lain hanya untuk beriktikaf."

Syarat-syarat iktikaf

Orang yang iktikaf harus memenuhi kriteria-kriteria sebagai berikut:

1. Muslim
2. Berakal
3. Suci dari janabah (junub), haid dan nifas.

Oleh kerana itu, iktikaf tidak diperbolehkan bagi orang kafir, anak yang belum mumaiyiz (mampu membezakan), orang junub, wanita haid dan nifas.

Rukun-rukun iktikaf

1. Niat (QS. Al Bayyinah : 5), (HR: Bukhari & Muslim tentang niat)
2. Berdiam di masjid (QS. Al Baqarah : 187)

Di sini ada dua pendapat ulama tentang masjid tempat iktikaf. Sebahagian ulama membolehkan iktikaf di setiap masjid yang diguna untuk solat berjemaah lima waktu.

Hal itu dalam rangka menghindari seringnya keluar masjid dan untuk menjaga pelaksanaan solat jemaah setiap waktu.

Ulama lain mensyaratkan agar iktikaf itu dilaksanakan di masjid yang diguna untuk membuat solat Jumaat, sehingga orang yang beriktikaf tidak perlu meninggalkan tempat iktikafnya menuju masjid lain untuk solat Jumaat.

Pendapat ini dikuatkan oleh para ulama Syafiiyah bahawa yang afdal iaitu iktikaf di masjid jami', kerana Rasulullah s.a.w iktikaf di masjid jami'. Lebih afdal di tiga masjid; Masjid al-Haram, Masjid Nabawi dan Masjid Aqsa.

Awal dan akhir iktikaf

Khusus iktikaf Ramadan waktunya dimulai sebelum terbenam matahari malam ke-21. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w : " Barang siapa yang ingin beriktikaf denganku, hendaklah ia beriktikaf pada 10 hari terakhir Ramadan (HR. Bukhari). 10 (sepuluh) di sini adalah jumlah malam, sedangkan malam pertama dari sepuluh itu adalah malam ke-21 atau 20.

Adapun waktu keluarnya atau berakhirnya, kalau iktikaf dilakukan 10 malam terakhir, iaitu setelah terbenam matahari, hari terakhir bulan Ramadan.

Akan tetapi beberapa kalangan ulama mengatakan yang lebih mustahab (disenangi) adalah menuggu sampai solat hari raya.

Hal-hal yang disunatkan waktu beriktikaf

Disunatkan agar orang yang beriktikaf memperbanyak ibadah untuk bertaqorrub kepada Allah SWT ,seperti solat, membaca al-Quran, tasbih, tahmid, tahlil, takbir, istighfar, selawat ke atas Nabi s.a.w, doa dan sebagainya serta termasuk juga di dalamnya pengajian, ceramah, majlis ta'lim, diskusi ilmiah, mentelaah buku tafsir, hadis, sirah dan sebagainya.

Hal-hal yang diperbolehkan bagi mutakif (orang yang beriktikaf)

1. Keluar dari tempat iktikaf untuk menghantar isteri, sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w terhadap isterinya Sofiyah ra. (HR. Riwayat Bukhari dan Muslim)
2. Menyisir atau mencukur rambut, memotong kuku, membersihkan tubuh dari kotoran dan bau badan.
3. Keluar dari tempat keperluan yang harus dipenuhi, seperti membuang air besar dan kecil, makan, minum (jika tidak ada yang menghantarkannya), dan segala sesuatu yang tidak mungkin dilakukan di masjid, tetapi ia harus segera kembali setelah menyelesaikan keperluannya .
4. Makan, minum, dan tidur di masjid dengan sentiasa menjaga kesucian dan kebersihan masjid.

Hal-hal yang membatalkan iktikaf

1. Meninggalkan masjid dengan sengaja tanpa keperluan walaupun sebentar, kerana meninggalkan salah satu rukun iktikaf iaitu berdiam di masjid.
2. Murtad ( keluar dari agama Islam )
3. Hilangnya akal, kerana gila atau mabuk
4. Haid atau Nifas
5. Berjimak (bersetubuh dengan isteri) (QS. 2: 187), akan tetapi memegang tanpa syahwat, tidak apa-apa sebagaimana yang dilakukan Nabi dengan isteri- isterinya.
6. Pergi solat Jumaat (bagi mereka yang membolehkan iktikaf di surau yang tidak digunapakai untuk solat Jumaat).

+ Rebutlah peluang keemasan 10 malam terakhir Ramadan +

Saidatul Amani
Thu | Oct 12, 06 | 1:00:34 pm MYT
KUALA LUMPUR, 12 Okt (Hrkh) - Pengerusi Jawatankuasa Pengajian Markas Tarbiyah PAS (Maktar), Ustaz Ibrahim Mohd Raja mengingatkan umat Islam supaya jangan melepaskan peluang keemasan untuk menikmati malam Lailatul Qadar.

Beliau berkata, Lailatul Qadar tidak akan berlaku kecuali pada 10 malam terakhir Ramadan.

Katanya, Rasulullah s.a.w. dilahirkan dan diutuskan wahyu pada hari Isnin manakala ayat al-Quran yang pertama diturunkan pada malam Lailatul Qadar iaitu malam 21 (Isnin).

Menurut beliau, Rasulullah s.a.w. menerima wahyu setiap hari Isnin dalam bulan Ramadan iaitu 7,14,21 dan 28 dan empat kali Baginda berulang alik ke Gua Hira'.

Beliau berkata, merujuk riwayat At-Tabaroni dan Abu Daud; tanda-tanda
berlaku Lailatul Qadar seperti suasana malam berada dalam keadaan terang (langit cerah); udara pada waktu malam tidak panas dan tidak sejuk (nyaman), tidak ada bintang di langit, malam yang penuh keselesaan dan seronok manakala siang hari pula matahari keluar dalam keadaan tidak bercahaya.

Katanya, menjelang malam terakhir 10 Ramadan Rasulullah s.a.w. melakukan tiga perkara iaitu menghidupkan malam, mengejutkan semua ahli keluarga dan bersungguh-sungguh melakukan ibadat.

"Saya amat berharap semua umat Islam dapat mengikut apa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. untuk merebut peluang keemasan malam Lailatul Qadar," katanya.

+ Empat aspek tingkat sistem pendidikan +

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah menggariskan empat aspek utama sistem pendidikan yang memerlukan perhatian khusus demi memenuhi keperluan ekonomi berasaskan pengetahuan dan inovasi.

Titah baginda, keempat-empat aspek berkenaan ialah kurikulum, sistem penilaian, strategi dan kaedah pengajaran dan pembelajaran serta bahasa Inggeris.

''Kurikulum kita terlalu padat dengan guru-guru dan pensyarah universiti memberikan begitu banyak maklumat kepada pelajar yang menerima secara pasif.

''Mungkin sudah tiba masanya untuk mengurangkan kandungan bahan yang disebarkan dan meluangkan lebih waktu bagi meningkatkan kemahiran dan kecekapan yang diperlukan dalam abad ke-21,'' titah baginda.

Raja Nazrin yang juga Pro-Canselor Universiti Malaya (UM) bertitah semasa merasmikan Persidangan Antarabangsa Pendidikan Untuk Semua di Hotel Legend di sini hari ini.

Mengenai sistem penilaian, baginda menjelaskan, sistem pendidikan sekarang terlalu berorientasikan peperiksaan dengan pelajar perlu menduduki empat peperiksaan umum sebelum ke universiti.

''Kita mungkin boleh mengurangkan peperiksaan di peringkat kebangsaan sekali gus mengurangkan beban dan kebimbangan guru, pentadbir sekolah dan ibu bapa. Kita juga cenderung menyanjung mereka yang mendapat keputusan cemerlang dan meminggirkan mereka yang tidak cemerlang.

''Sistem berorientasikan peperiksaan juga menyebabkan sekolah-sekolah memberikan fokus kepada mereka yang mendapat keputusan cemerlang. Lebih malang, mereka yang tidak cemerlang berlatarbelakangkan sosio-ekonomi yang rendah,'' titah baginda.

Tambah Raja Nazrin, kaedah penilaian alternatif yang lebih mencerminkan keupayaan pelajar perlu dilaksanakan.

''Biarpun mendapat markah A adalah penting, pelajar juga perlu menguasai pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan bagi membolehkan mereka bekerja secara efektif dan efisien,'' titah baginda.

Baginda bertitah, kaedah pengajaran dan pembelajaran perlu kepada pelajar melakukan projek, menganalisis kajian kes, menyelesaikan masalah, membuat keputusan dalam pelbagai situasi, mempertikai kes-kes yang dikaji serta memupuk pengetahuan pelajar itu sendiri.

''Seringkali guru mengeluh untuk menggunakan strategi pengajaran sedemikian namun kandungan pelajaran menyebabkan mereka terpaksa memilih kaedah syarahan yang membolehkan lebih banyak kandungan pelajaran disebarkan kepada pelajar,'' jelas Raja Nazrin.

Aspek yang keempat, tambah baginda, ialah bahasa Inggeris yang begitu penting dalam alam pekerjaan di abad ke-21.

''Di tempat-tempat kerja di seluruh dunia, mereka yang mahir bahasa Inggeris akan menikmati banyak kelebihan dan kebanyakan majikan menjadikan bahasa Inggeris sebagai syarat pengambilan pekerja.

''Menyentuh mengenai guru, satu kajian bertajuk Bagaimana Sekolah Terbaik Di Dunia Menduduki Tempat Teratas oleh McKinsey and Co. pada 2007 mendapati guru merupakan penentu pada kualiti sesebuah sistem pendidikan,'' jelas baginda.

Tambah Raja Nazrin, di Finland semua guru baru mesti mempunyai ijazah sarjana, Korea Selatan pula mengambil guru sekolah rendah dari kalangan lima peratus graduan terbaik sementara Singapura dan Hong Kong pula memilih guru dari kalangan 30 peratus pelajar terbaik.