+ h e a r m e +

Saturday, August 8, 2009

+ isu globalisasi +

DUNIA kini semakin rumit dan berserabut. Jika ada dua perkataan yang dapat menggambarkan situasi yang kini sedang berkembang dalam dunia dewasa ini adalah "kekeliruan dan kepalsuan". Apakah yang lebih mengelirukan bagi generasi pewaris jika mereka dalam suatu keadaan sedang menyaksikan kehidupan manusia yang berada di dalam kekaburan dan kesamaran untuk menentukan destinasi hidup yang sebenar? Di suatu waktu golongan muda kita diperdengarkan mengenai slogan keadilan dan kebenaran tetapi di waktu yang lain mereka menyaksikan perbuatan yang zalim dan pemalsuan di atas nama keadilan dan kebenaran itu sendiri. Sesungguhnya kekeliruan dalam pemikiran dan tanggapan terhadap erti kesejahteraan dan kemakmuran hidup telah membawa kepada krisis yang semakin kusut dan tragedi yang amat besar kepada kemanusiaan di waktu ini. Komplot dikelirukan di atas nama kebersamaan, monopoli kekayaan di atas nama pertumbuhan ekonomi, dominasi budaya di atas nama liberalisasi, penindasan golongan lemah di atas nama demokrasi, hedonisme di atas nama kebebasan individu peminggiran di atas nama urbanisasi dan penjajahan di atas nama pasaran bebas. Semua ini sedang dihidangkan kepada generasi pewaris. Dalam jangka masa panjang yang palsu jika diulangi dan diperkukuhkan dengan kenyataan yang tidak disanggah, akhirnya akan menjadi persepsi yang dianggap benar dan terus dilanjutkan serta kadangkala dipertahankan tanpa soal. Kita kerap memperkatakan sesuatu yang sering tidak kita fahami tetapi akibat dari sogokan yang bertubi-tubi melalui pelbagai media ia sudahnya diterima. Di zaman ini tidak ada ungkapan dan laungan yang paling tertonjol dan didengari dan dianggap sebagai benar oleh hampir semua pemegang kuasa dan khalayak awam melainkan Globalisasi.
Ramai yang sudah hampir yakin dengan penuh taqlid bahawa fenomena globalisasi adalah suatu realiti yang perlu diakui. Sejauh mana dan ke mana arah sebenarnya globalisasi akan membawa kita hampir tidak dapat diteliti dengan waras dan saksama oleh pelbagai pemikir dan perancang. Kita sekarang sebenarnya sedang berada di suatu zaman di mana proses penyeragaman yang amat ketara sedang berlangsung. Akibat dari apa yang dikatakan globalisasi, kita sudah hampir pasti mengatakan kepelbagaian adalah satu ketidaksempurnaan. Oleh yang demikian kita semakin akur mengatakan bahawa globalisasi adalah suatu konsep yang benar dan tepat walaupun natijahnya jelas membawa banyak kesan negatif daripada positif. Kita akan perhatikan bahawa hampir semua aspek kehidupan kita sedang menjalani proses globalisasi yang sebenarnya adalah untuk mengheret kita ke dalam suatu sistem hidup yang diseragamkan di seluruh dunia. Tidak ada aspek kehidupan yang tidak disentuh oleh proses globalisasi. Tidak ada sektor pembangunan dan kemajuan sesebuah negara yang sepi dari sentuhan glabalisasi. Namun begitu kita tidak pula nampaknya mengambil sikap yang kritikal terhadap proses ini. Dalam keghairahan untuk diglobalkan, kita semakin terputus dari budaya dan akar sejarah kita sendiri. Suatu tanggapan yang tidak disedari sedang menjadi asas pemikiran kita masa kini ialah semua sejarah bangsa mahupun negara tidak lagi bermakna melainkan proses globalisasi adalah satu-satunya fenomena yang harus membentuk seluruh tamadun hidup semasa.

No comments: